PELAJAR Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah Lid Dirasatil Islamiyyah sedang mengikuti pengajian. FOTO ihsan Maahad Tahfiz
PELAJAR Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah Lid Dirasatil Islamiyyah sedang mengikuti pengajian. FOTO ihsan Maahad Tahfiz
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Sejak beberapa tahun lalu kenderaan guru Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah Lid Dirasatil Islamiyyah, Sungai Lui, Hulu Langat terpaksa digunakan untuk membawa pelajar tahfiz menjalani aktiviti luar.

Namun kini, disebabkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang perlu ada penjarakan fizikal menyebabkan sebuah van diperlukan maahad tahfiz berkenaan.

Pengurusnya, Wan Mohamad Abu Jandal Wan Mohd Noor berkata, sebelum ini pelajar terpaksa berhimpit dalam sebuah kereta jika ada aktiviti yang memerlukan mereka keluar dari maahad berkenaan.

Menurutnya, patuh kepada arahan kerajaan khususnya untuk penjarakan fizikal menyebabkan maahad tahfiz berharap dapat memiliki sebuah van untuk memudahkan pergerakan pelajar.

"Jarak antara maahad tahfiz dengan masjid terdekat adalah lima kilometer dan tenaga pengajar perlu berulang kali mengambil pelajar untuk menunaikan ibadah di masjid berkenaan.

"Selain itu, van berkenaan juga kelak boleh membantu memudahkan pergerakan pelajar sekiranya menerima jemputan bacaan Yassin dan majlis ilmu di lokasi lain," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

WAN Mohamad Abu Jandal Wan Mohd Noor.
WAN Mohamad Abu Jandal Wan Mohd Noor.

Beliau berkata, sumbangan orang ramai, syarikat korporat atau badan bukan kerajaan diharap dapat merealisasikan hasrat maahad tahfiz berkenaan memiliki kenderaan sendiri.

Katanya, sebelum ini maahad tahfiz berkenaan mempunyai 300 pelajar, namun sudah berkurangan kepada 27 pelajar sejak penularan pandemik Covid-19.

"Kekangan kewangan dan tiada bantuan luar diterima menyukarkan maahad tahfiz ini membeli van untuk kegunaan pelajar.

"Dengan adanya van ini kelak akan memudahkan pergerakan pelajar termasuk membawa mereka yang memerlukan rawatan segera jika mengalami sebarang masalah kesihatan," katanya.

Orang ramai yang berhasrat untuk menyalurkan bantuan boleh berhubung terus dengan Wan Mohamad Abu Jandal di talian 014-8098937.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 2:43 PM