GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Ipoh: Lelaki ditemukan mati di dalam kereta di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan, dekat sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat Ng Kar Weng, 26, di dalam kereta berkunci pada 11.30 pagi.

"Kami segera mengerahkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, enjin dan pendingin hawa kereta dalam keadaan telah dimatikan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu kereta dan operasi tamat pada 12.12 tengah hari.

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pemeriksaan ke atas kereta berkenaan menemukan pasu tanah berisi arang yang telah terbakar di ruang kaki tempat duduk belakang.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang masih bujang dan bekerja sebagai tukang cat kenderaan tinggal seorang diri di kondominium di Menglembu, Ipoh dan mangsa tidak pernah menceritakan sebarang masalah kepada keluarganya sebelum ini," katanya.

Beliau juga berkata, pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kecederaan pada mangsa mahupun unsur jenayah di tempat kejadian.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 3:36 PM