Siti Rohana Idris


Tumpat: Peniaga kerugian RM60,000 membabitkan wang pusingan modal perniagaan selepas rumahnya terbakar dalam kejadian di Kampung Besut, di sini, tengah hari tadi.

Rosnani Sulaiman, 54, ketika ditemui kelihatan tidak bermaya dan terpaksa dipapah jiran sebaik tiba di rumahnya.

Katanya, ketika kejadian jam 12.10 tengah hari tadi, dia bersama cucunya berusia lima tahun ke sebuah pasar raya berhampiran untuk membeli barangan keperluan harian.

"Tiba-tiba jiran telefon dan beritahu rumah saya sedang terbakar. Apa yang terlintas dalam fikiran ketika itu adalah seorang lagi cucu bersama menantu yang berada di rumah serta wang tunai berjumlah RM60,000 yang disimpan dalam almari.

"Wang itu adalah pusingan modal untuk digunakan dalam perniagaan pakaian dan barangan keperluan lain malah ada juga beberapa utas barang kemas yang disimpan di tempat sama," katanya.

ROSNANI ketika ditemui kelihatan tidak bermaya dan terpaksa di papah sebaik mengetahui rumahnya hangus dalam kebakaran membabitkan kerugian RM60,000. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ROSNANI ketika ditemui kelihatan tidak bermaya dan terpaksa di papah sebaik mengetahui rumahnya hangus dalam kebakaran membabitkan kerugian RM60,000. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Menantunya, Nor Fazira Mohd Noor, 26, berkata, sebelum kejadian, dia serta bayinya berusia 10 bulan sedang tidur di ruang tamu dan tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat.

Katanya, dia segera mengangkat bayinya yang sedang tidur dalam buaian sebelum bergegas keluar dari rumah.

"Saya segera memberitahu jiran tetangga kerana ternampak asap dan api yang sudah mula membakar dinding bilik tidur mentuanya.

"Orang ramai cuba memadamkan api namun disebabkan binaan rumah daripada kayu, kebakaran merebak dengan pantas malah sebuah kereta jenis Honda CRV milik suami turut hangus," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, panggilan kecemasan diterima pada 12.18 tengah hari.

"Seramai 20 pegawai dan anggota dari BBP Tumpat, Kota Bharu dan Darul Naim tiba dikejarkan ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, rumah itu sudah 80 peratus terbakar.

"Operasi dapat dikawal pada 12.51 tengah hari dan hasil tindakan pantas kami menyelamatkan lima rumah di sekitar lokasi kejadian kerana jaraknya yang agak berdekatan," katanya memberitahu punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 3:59 PM