Mohd Khidir Zakaria


Bahau: Seorang ibu tunggal reda dengan kesusahan hidup tanpa kediaman tetap disamping perlu menjaga anak bongsu yang cacat fizikal sejak lahir.

Siti Kholijah Ibrahim, 55, yang kematian suami 16 tahun lalu tidak mampu menyewa rumah kerana hanya bergantung dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 dan Baitulmal RM250.

Berikutan itu, dia terpaksa tinggal menumpang di sebuah rumah di Kampung Lalang di sini.

"Saya mempunyai empat anak berusia dari 16 hingga 23 tahun. Dua daripada mereka sudah bekerja manakala dua lagi tinggal bersama saya termasuk anak bongsu Muhammad Fawwaz Subhi Abdullah, 16, yang cacat fizikal.

"Muhammad Fawwaz tidak boleh ditinggalkan sendirian kerana dia akan merayau jika tidak diawasi walaupun dia tidak boleh berjalan," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) tadi.

Katanya, buat sementara waktu ini, dia menumpang di bahagian hadapan kediaman milik penduduk kampung itu sementara mendapat rumah lain.

"Saya tiada tanah sendiri untuk memohon sebuah rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Malah rumah yang saya tumpang ini sudah lama tidak diduduki dan tuan rumah membenarkan saya tinggal di situ, Namun saya perlu membaiki sendiri kerosakan seperti bumbung bocor dan dinding yang reput," katanya.

Siti Kholijah berkata, dua anaknya yang sudah bekerja turut membantu bagi menampung perbelanjaan untuk adik bongsu mereka walaupun gaji mereka hanya 'cukup makan' sahaja.

"Saya tidak memaksa kerana pendapatan dua anak saya tidak sebanyak mana. Manakala anak ketiga, Muhammad Rahime, 18, sedang mencari pekerjaan dan masih tinggal dengan saya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya sedang berusaha mengumpul dana bagi membaiki rumah itu bagi membolehkan keluarga ibu tunggal ini tinggal bersama anak istimewanya kerana kediaman sekarang tidak selamat untuk anaknya yang OKU.

"Saya akan berusaha mengumpulkan dana bagi membaiki rumah itu secepat mungkin dan nilai anggaran sekitar RM5,000 bagi membaiki atap rumah yang banyak bocor dan dinding yang reput.

"Sesiapa yang mahu infaq dana atau barangan bagi membaiki rumah ini untuk keselesaan keluarga ibu tunggal ini bolehlah terus menghubungi saya di talian 0129805132 (Norfadilah)," katanya.

SITI KHOLIJAH bersama anak istimewanya, Muhammad Fawwaz di rumah yang ditumpangi mereka di Kampung Padang Lalang, Bahau. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
SITI KHOLIJAH bersama anak istimewanya, Muhammad Fawwaz di rumah yang ditumpangi mereka di Kampung Padang Lalang, Bahau. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA

Orang ramai yang mahu menyumbang bagi meringankan beban keluarga ini bolehlah melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 05104-29-00017229- 1 (Siti Kholijah Ibrahim) atau menghubunginya di talian 013 6907446.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 5:18 PM