Proses disinfeksi SK Raja Alias Tiga, Bandar Seri Jempol dilakukan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Jempol. FOTO Ihsan BBDP Seri Jempol.
Proses disinfeksi SK Raja Alias Tiga, Bandar Seri Jempol dilakukan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Jempol. FOTO Ihsan BBDP Seri Jempol.
Mohd Amin Jalil dan Abnor Hamizam Abd Manap

Seremban: Sekolah Kebangsaan (Felda) Raja Alias 3 di Bandar Seri Jempol menjadi sekolah terbaharu dari luar daerah ini yang ditutup selepas muridnya disahkan positif Covid-19.

Sekolah itu diarahkan tutup selama tujuh hari bermula esok bagi menyekat penularan wabak pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek, berkata, penutupan sekolah itu dibuat bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dilakukan.

"Guru-guru perlu bekerja dari rumah dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang tempoh penutupan sekolah," katanya.

Sebelum ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin menjadi sekolah pertama di luar Seremban ditutup apabila seorang pelajar Tingkatan tiga positif Covid-19, Rabu lalu.

Ia diikuti Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di Senawang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Undang Haji Adnan (Duha) Rembau, yang ditutup mulai Khamis lalu.

Terdahulu, satu surat rasmi berhubung pemberitahuan penutupan sekolah tular dalam media sosial dan aplikasi WhatsApp sejak petang semalam ekoran terdapat warga sekolah itu yang didakwa positif Covid-19.

Terbaharu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui satu kenyataan semalam mengeluarkan arahan penutupan keseluruhan 177 institusi pendidikan di zon merah Seremban bermula 25 Oktober hingga 9 November ini.

Bermula kelmarin, Seremban bertukar kepada status zon merah selepas berlaku peningkatan kes di mukim Ampangan melalui Kluster Sofi dan terkini di mukim Labu melalui Kluster Kaya dengan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di daerah berkenaan sebanyak 179 kes.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan laporan lanjut berhubung kes positif Covid-19 berkenaan akan menyusul kemudian.

"Kita akan terus memantau perkembangan kes Covid-19 di daerah ini berdasarkan maklumat daripada KKM," katanya.

Kelmarin, Negeri Sembilan mencatatkan 96 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,290.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 8:09 PM