PERANGKAP monyet dipasang MPM di Pantai Teluk Batik, Lumut. FOTO ihsan MPM
PERANGKAP monyet dipasang MPM di Pantai Teluk Batik, Lumut. FOTO ihsan MPM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Kesulitan dihadapi pengunjung akibat kerap diganggu monyet liar di Pantai Teluk Batik, di sini, menyebabkan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) mengambil inisiatif menghasilkan perangkap haiwan itu.

Inovasi setinggi 2.1 meter itu dihasilkan kakitangan Unit Landskap MPM yang disiapkan dalam tempoh lima jam saja membabitkan kos RM700.

Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, setakat ini, perangkap itu diletakkan di kawasan pantai saja dan ia mampu memuatkan antara 10 hingga 15 monyet.

"Inisiatif itu susulan MPM kerap menerima aduan awam mengenai gangguan monyet liar terutama di pantai Teluk Batik dan kawasan perumahan Venice di Lumut.

"Sasaran kami menghasilkan tiga unit lagi untuk kegunaan di taman dan pantai awam supaya pengunjung lebih selesa serta selamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syamsul Hazeman berkata, orang ramai perlu membuat aduan rasmi kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya tindakan boleh diambil bagi mengatasi masalah kacau ganggu monyet liar.

Beliau berkata, MPM terpaksa menutup sementara Taman Paya Bakau atau lebih dikenali sebagai Taman Monyet sejak Mac lalu, susulan masalah sama.

"Taman berkenaan ditutup kerana pengunjung suka memberi makanan kepada monyet liar hingga MPM terpaksa membersihkan sampah sarap dan sisa makanan yang diberikan orang ramai setiap hari.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memberi makan kepada monyet liar kerana bukan saja menyebabkan masalah sampah, ia akan menjadikan haiwan itu mengharapkan makanan daripada manusia.

"Selain itu, haiwan berkenaan akan bertindak agresif kerana mereka sudah tidak takut dengan manusia untuk mendapatkan makanan," katanya.

Syamsul Hazeman berkata, taman itu hanya akan dibuka semula selepas orang ramai sudah memahami dan mematuhi peraturan ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 11:06 AM