MOHAMAD Fauzi dibawa menaiki ambulans ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan. FOTO Ihsan Pembaca
MOHAMAD Fauzi dibawa menaiki ambulans ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan. FOTO Ihsan Pembaca
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Seorang pembantu gerai makan maut selepas terkena renjatan elektrik di Persiaran Lembah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa, Mohamad Fauzi Musa, 30, dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar dengan ambulans, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, keterangan saksi di tempat kejadian mengatakan mangsa rebah akibat renjatan elektrik itu dengan tangannya dalam keadaan berpaut pada tiang besi khemah di gerai tempatnya bekerja.

"Renjatan dipercayai berpunca daripada aliran elektrik pada tiang khemah itu yang berkenaan bersambung wayar elektrik dari bangunan gerai.

"Ketika kejadian hujan lebat, selain tubuh serta pakaian mangsa basah. Punca kematian disebabkan serangan jantung akibat renjatan eletrik (acute myocardial infarction due to electrocution)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 11:29 AM