GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang bekas pengarah sebuah syarikat hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini atas pertuduhan menipu bekas wartawan berhubung pembelian lot banglo yang tidak wujud, lapan tahun lalu.

Mohd Asri Hasan, 55, didakwa menipu Faiza Zainudin, 50, dengan memperdaya mangsa bagi pembelian lot banglo yang tidak wujud sehingga mendorong wanita itu menyerahkan RM32,000 melalui akaun Maybank.

Bapa kepada empat anak itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah premis di Jalan Jelatek Satu, Jelatek Business Park di sini, pada 4 petang, 5 Mac 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan minimum atas alasan dia kini tidak bekerja dan ditanggung oleh anaknya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 2:02 PM