Ahmad Saidi Hamzah menyerahkan sijil PBSL kepada penghuni yang terpilih di Penjara Marang. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Saidi Hamzah menyerahkan sijil PBSL kepada penghuni yang terpilih di Penjara Marang. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Marang: Seramai 59 penghuni membabitkan pelbagai kesalahan di Penjara Marang, di sini, memperolehi Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL), hari ini.

Ia diberikan kepada penghuni yang menjalani hukuman di bawah tempoh setahun sekali gus membantu menyelesaikan masalah kesesakan penghuni di penjara berkenaan.

Pengarah Penjara Terengganu, Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah berkata, PBSL itu membabitkan penghuni yang mempunyai jumlah baki hukuman kurang daripada lima bulan.

"PBSL yang dijalankan itu membantu mengurangkan kesesakan penghuni di Penjara Marang yang semakin meningkat.

"Sebelum ini PBSL hanya diberikan untuk tempoh seminggu sahaja sebelum mereka datang semula ke penjara dan menghabiskan baki hukuman, tetapi pemberian PBSL kali ini dilanjutkan sehingga ke tarikh pembebasan mereka.

"Bagaimanapun, penghuni perlu melaporkan diri di Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti berdekatan dan datang semula ke pejabat parol sama untuk menandatangani surat pembebasan pada tarikh pembebesan mereka tanpa perlu ke Penjara Marang," katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani PBSL di Penjara Marang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Penjara Marang Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab Rahman dan Timbalan Pengarahnya Penguasa Penjara Mohd Irwan Awang.

Difahamkan, seramai tujuh daripada 59 penghuni terpilih bekerja di Kemaman dan Besut.

Ahmad Saidi berkata, semua penghuni yang memperolehi PBSL perlu mematuhi peraturan termasuk tidak boleh keluar daerah dan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM2,000 atau dua tahun penjara jika ditangkap melanggar peraturan itu.

Katanya, PBSL itu diberikan kepada penghuni yang layak dengan persetujuan keluarga pada setiap bulan.

"Kami tidak hadkan jumlah kerana ia bergantung kepada kelayakan penghuni. Jika lebh 100 penghuni yang layak, mereka tetap akan diberikan PBSL itu.

"Sasaran yang ditetapkan menjelang 2030 ialah sebanyak 23 peratus daripada jumlah keseluruhan penghuni di Penjara Marang menjalani hukuman di luar penjara melalui PBSL dan program lain yang disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 3:24 PM