Foto hiasan
Foto hiasan
Latifah Arifin

Kuala Lumpur: Keputusan Arab Saudi yang menetapkan had umur tertentu bagi mengerjakan umrah selepas permit kebenaran untuk jemaah luar dibuka bermula 1 November ini perlu diterima dan diikuti termasuk oleh pengendali serta jemaah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaari berkata, semua pihak perlu akur dan menghormati peraturan baharu itu.

"Jika itu syarat ditetapkan, kita perlu akur kerana kerajaan mereka lebih tahu bagaimana keadaan Covid-19 di sana.

"Berkaitan jemaah umrah di Malaysia, pihak kerajaan sehingga hari ini belum memutuskan secara rasmi bagaimana mekanisme (digunakan) sekiranya dibenarkan nanti," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Arab Saudi membenarkan jemaah luar berusia antara 18 hingga 50 tahun mengerjakan ibadah umrah selepas mengumumkan permit kebenaran dibuka mulai 1 November ini.

Ahmad Marzuk berkata, perkara berkenaan belum dibawa ke Kabinet berikutan tumpuan diberikan kepada sidang Parlimen dan kedudukan kerajaan yang sedang hangat diperkatakan.

Bagaimanapun, beliau berkata, berkemungkinan besar sekiranya penularan pandemik Covid-19 semakin menurun dan terkawal di Arab Saudi, kelonggaran termasuk had umur dan jumlah jemaah akan dipertimbangkan.

"Jika sudah terkawal nanti, berkemungkinan Arab Saudi membenarkan umrah dibuka untuk semua kategori umur.

"Saya sarankan umat Islam bersabar dan tunggu perkembangan semasa Covid-19, jika ia bertambah baik berkemungkinan ada kelonggaran had umur diberikan," katanya.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah berkata, umat Islam perlu menerima ketentuan ini kerana ia antara jalan terbaik bagi mengekang penularan Covid-19.

"Walaupun belum ada apa-apa makluman rasmi dari kerajaan (Malaysia), kita perlu terima keadaan ini kerana ia bukan sengaja diada-adakan tetapi bagi mengekang Covid-19.

"Ia tentu berkait dengan situasi di sana termasuk keupayaan kerajaan Arab Saudi menguruskan jemaah dalam fasa pandemik ini," katanya.

Dr Luqman berkata, umat Islam perlu menerima situasi ini dengan reda sebagai satu ketentuan Allah SWT.

"Jangan kita lupa kepada qada dan qadar yang tertulis oleh Allah SWT.

"Siapa yang terpilih untuk pergi dan tidak dapat menunaikan ibadat ini, semuanya sudah ditentukan Allah SWT.

"Jika kita faham dan meletakkan situasi ini di tempat yang betul, maka ia tidak akan dianggap sebagai satu masalah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 4:41 PM