Seorang penoreh getah lelaki menemui sebiji bom mortar lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua ketika sedang membersihkan kawasan kebun miliknya di Felda Mata Ayer. FOTO Ihsan IPD Padang Besar
Seorang penoreh getah lelaki menemui sebiji bom mortar lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua ketika sedang membersihkan kawasan kebun miliknya di Felda Mata Ayer. FOTO Ihsan IPD Padang Besar
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Padang Besar: Penoreh getah menemui sebutir peluru mortar lama dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua ketika sedang membersihkan kawasan kebunnya di Felda Mata Ayer, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, dalam kejadian 6.30 petang, lelaki berusia 36 tahun itu melaporkan penemuannya kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 yang sedang bertugas di Pos Kawalan TS 10.

Menurutnya, peluru berkenaan dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pada 12.45 tengah hari tadi

"Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit menemuinya dalam keadaan terbuka di atas tanah serta berlumpur.

"Malah, ia masih aktif apabila pihak polis memeriksanya dari semalam dan tindakan menutup kawasan dalam radius bersesuaian turut diambil," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, polis membuka kertas siasatan terhadap penemuan peluru mortar lama berkenaan.

"Saya berharap orang ramai lebih berhati-hati ketika melakukan kerja di dalam kawasan hutan," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 5:20 PM