BERNAMA

Kluang: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh dan menanam seorang pesara polis di sebuah premis, pada Ogos lalu.

Tertuduh, Lim Fong Kim, 37, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin manakala Saharudin A Samad, 42, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret ND Arun.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Lim.

Mengikut kertas pertuduhan, Lim didakwa membunuh Su Kim Chiang, 57, dengan menggunakan sebatang alat komponen motosikal pada 31 Ogos antara 8.10 malam hingga 9 malam di sebuah premis, Batu 22, Jalan Ikan Merah 5, Kahang Dalam, dekat sini.

Tertuduh yang juga pekerja kedai tayar didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Saharudin didakwa membantu Lim menanam mayat pesara polis di kebun kelapa sawit di Batu 26, Jalan Mersing, dekat sini pada 31 Ogos antara 8.10 malam hingga 1.30 pagi dan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, Saharudin boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zahida Muhammad Ruzi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nur Zahida memohon agar mahkamah meletakkan wang jaminan RM10,000 ke atas Saharudin sebelum Saharudin memohon dikurangkan wang jaminan kerana hanya bekerja di kebun kelapa sawit dengan gaji bulanan kira-kira RM2,000.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi Saharudin dan sebutan semula kes pada 26 November ini untuk serahan dokumen dan laporan bedah siasat.

LIM (dua dari kiri) dan Saharudin ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kluang, hari ini. FOTO ADNAN IBRAHIM
LIM (dua dari kiri) dan Saharudin ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kluang, hari ini. FOTO ADNAN IBRAHIM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 5:27 PM