ISMAIL Sabri bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF). FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF). FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan pembubaran Parlimen antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Kabinet hari ini.

Katanya, perkara itu tidak disentuh sepanjang mesyuarat berkenaan berlangsung.

"Tadi memang ada Mesyuarat Khas Kabinet tapi perkara mengenai pembubaran Parlimen tidak dibincangkan pun dalam Kabinet hari ini.

"Walaupun saya tidak boleh sebut (isi perbincangan mesyuarat), tapi ia bagi menjawab perkara itu (dakwaan)," katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tular di media sosial mengenai perbualan beliau dan rakan politik lain yang mencadangkan pembubaran Parlimen.

Katanya, pelbagai berita palsu disebarkan ketika ini bertujuan mengelirukan orang ramai.

"Pernah satu ketika video sidang media saya disunting mengenai rakyat Singapura dibenarkan masuk ke Malaysia sedangkan ia berita palsu," katanya.

Katanya, beliau berharap masyarakat menyemak kesahihan setiap maklumat dan membuat penilaian dengan bijak sebelum disebarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 7:13 PM