MOHD SAID ABD HAMID. FOTO BERNAMA
MOHD SAID ABD HAMID. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Sebut sahaja perkataan 'abah', perhatian pasti terarah kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang popular dengan gelaran tersebut ketika menguruskan situasi cemas negara berdepan penularan pandemik Covid-19.

Namun, panggilan 'abah' juga sinonim buat pesara tentera Mej (B) Mohd Said Abd Hamid, 61, dalam kalangan pengikut laman Facebook (FB) 'Suami Masak Apa Hari Ini (SMAHI)?' yang diwujudkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuaskan, Mac lalu sebagai usaha kerajaan menangani Covid-19.

Carian laman FB SMAHI yang khusus buat kaum Adam itu, mendapati ahli-ahlinya akan memuat naik pelbagai menu yang berjaya dimasak. Namun, bagi Mohd Said, selain memuat naik menu masakannya, beliau turut menyelitkan pelbagai nasihat terutama berkaitan hal rumah tangga.

Ketika ditemui di Sungai Udang di sini, anak kelahiran Kampung Melayu, Kluang, Johor itu berkata, dia memanfaatkan platform media sosial FB itu untuk memberi nasihat secara berkias terutamanya kepada golongan muda agar tidak tersasar dari landasan kehidupan.

"Segala coretan yang dipaparkan di laman media sosial berkenaan lebih berbentuk nasihat supaya orang muda dapat jaga keluarga baik-baik. Bila keluarga bahagia dengan sendirinya hidup pun bahagia," katanya.

Antara kiriman abah "Paksa le sahabat...Aku pun sentiasa memaksa diri.. Inn Sya Allah..Akan tiba kau akan gelisah pada waktunya", sambil disertakan sekeping gambar suasana dalam ruang solat masjid bertujuan menasihatkan rakan netizen untuk tidak lupa mengerjakan solat.

Menurutnya, pengalaman merantau ke beberapa negeri ketika berkhidmat dalam tentera banyak memberi pengajaran kepadanya untuk dikongsi bersama pengikut kumpulan Facebook berkenaan.

"Pernah suatu masa ketika semasa berada di Kuala Lipis, Pahang, saya melihat ada seorang anak muda yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan yang sanggup menggadaikan motosikalnya untuk berjudi, namun kalah dan ia memberi kesan mendalam dalam hidupnya.

"Saya juga agak nakal ketika masih muda dan peristiwa itu sangat terkesan dalam jiwa dan saya mula berubah secara perlahan-lahan," kata bapa kepada sembilan orang anak berusia antara sembilan dan 35 tahun itu.

Beliau berharap agar coretan yang dipaparkan di Facebook dapat memberi sedikit 'cahaya' kepada rakan-rakannya yang mungkin mengalami masalah dalam kehidupan.

"Saya juga berasal daripada orang susah. Masa di Tingkatan Empat terpaksa berhenti sekolah walaupun dapat biasiswa Persekutuan untuk bersekolah di Sekolah Tinggi Batu Pahat.

"Saya mula masuk tentera pada usia 18 tahun sebagai anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) sebelum ditauliahkan sebagai pegawai, justeru dengan pengalaman sepanjang 36 tahun di dalam tentera banyak mengajar saya cara untuk menangani masalah dan tekanan yang dihadapi oleh anggota bawahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 8:02 PM