Mohd Sharif dan ibunya di rumah keluarganya di Kampung Lubok Merbau di sini, hari ini. (Gambar kecil) Allahyarham Mohamad Fauzi. Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Mohd Sharif dan ibunya di rumah keluarganya di Kampung Lubok Merbau di sini, hari ini. (Gambar kecil) Allahyarham Mohamad Fauzi. Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Padang Rengas: "Saya ada bermimpi abang sedang menangis," kata Mohd Sharif Musa, 29, adik kepada pembantu gerai makan yang maut akibat renjatan eletrik pada tiang besi khemah di Persiaran Lembah, Kuala Kangsar, petang semalam.

Menurutnya, beberapa jam sebelum kejadian dia yang turut bekerja di gerai berkenaan disuruh pulang oleh majikannya kerana dia mengalami migrain.

Katanya, dia kemudiannya tidur pada 3 petang dan ketika itu bermimpi mengenai abangnya, Mohamad Fauzi Musa, 30, itu.

"Saya kemudiannya terjaga dan mendapati isteri sedang berbual di telefon dan dia kelihatan panik apabila diberitahu oleh adik serta anak tiri saya yang turut berkerja di situ bahawa abang pengsan di gerai berkenaan.

"Ketika itu, abang masih bernyawa. Majikan kemudiannya hubungi saya dan minta terus pergi hospital untuk melihat keadaan abang.

"Apabila kami sampai di hospital, petugas perubatan mengesahkan abang sudah 'pergi'," katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Lubok Merbau di sini, hari ini.

Menurutnya, abangnya ada menunjukkan perubahan kelakuannya berbanding kebiasaan apabila enggan diajak bersembang selain mudah tersinggung.

Katanya, perangai abang berubah pada malam sebelum kejadian walaupun hubungan mereka berdua sememangnya rapat sejak kecil.

"Kelakuan arwah pada malam sebelum kejadian hinggalah tengah hari ini sebelum saya pulang ke rumah sangat menghairankan. Tidak sangka itu petanda ajalnya," katanya.

Menurutnya, dia reda dengan ketentuan itu walaupun mereka berdua sering meluangkan masa bersama untuk berkongsi cerita, bermain permainan video dan sebagainya.

"Walaupun saya sudah berkahwin dan tinggal di rumah berasingan, saya sering menjenguk arwah yang tinggal bersama adik, kakak serta abang ipar memandangkan ibu kami (Intan Sufiah Halim, 53) juga menetap bersama mereka.

"Kami adik-beradik sememangnya berpakat untuk menyara ibu yang tidak bekerja susulan menghidap darah tinggi, kencing manis serta kerosakan buah pinggang.

"Bagaimanapun, arwah sering ke depan dalam tanggungjawab menjaga ibu kerana dia anak lelaki sulung," katanya.

Mohd Sharif berkata, abangnya juga baru sebulan bekerja di gerai terbabit selepas berhenti kerja sebagai buruh kontrak susulan tempahan membuat kerja pertukangan yang merosot susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, abangnya selamat dikebumikan pada 10.30 pagi hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubuk.

Sebelum ini, media melaporkan Mohamad Fauzi maut akibat serangan jantung selepas terkena renjatan elektrik.

Berita berkaitan

Ajal terkena renjatan elektrik

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 10:24 PM