Anggota bomba melakukan pencarian warga emas yang hilang di kawasan kunci air Parit 12, Teluk Intan, hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba melakukan pencarian warga emas yang hilang di kawasan kunci air Parit 12, Teluk Intan, hari ini. Foto Ihsan JBPM
Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: Lelaki warga emas dikhuatiri lemas di kawasan kunci air Parit 12 di sini, hari ini.

Mangsa, Woo Poh Meng, 69, didapati hilang di kawasan itu selepas beberapa barang peribadinya ditemukan di lokasi berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan Ismail Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima panggilan mengenainya pada 7.33 malam sebelum sepasukan anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan oleh pihak polis bahawa mangsa berkemungkinan hilang di kawasan kunci air itu berdasarkan penemuan barang peribadinya.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan pencarian di permukaan sedang giat dijalankan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, operasi turut membabitkan anggota polis dan kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 11:00 PM