Goh Leong Yeong @ Alvin ditahan di sebuah pusat peranginan di Pahang awal pagi tadi.
Goh Leong Yeong @ Alvin ditahan di sebuah pusat peranginan di Pahang awal pagi tadi.
Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Suspek utama kes pengubahan wang haram yang melarikan diri sebaik dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 11 Oktober lalu direman tiga hari bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, Goh Leong Yeong @ Alvin yang ditahan di sebuah pusat peranginan di Pahang awal pagi tadi dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk ditahan reman.

Menurutnya, polis kemudian mendapat perintah tahanan reman daripada mahkamah selama tiga hari bermula hari ini.

"Dia (Alvin Goh) ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes perjudian di Cheras.

"Sementara wanita warga China yang dipercayai teman wanitanya pula akan dibebaskan selepas keterangannya diambil," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Ros berkata, siasatan sedang dijalankan berhubung pembabitan dan kegiatan suspek dalam perjudian itu.

Pada 11 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan suspek dikatakan berjaya meloloskan diri dengan memanjat pagar belakang bangunan SPRM dengan sebuah kenderaan yang menunggunya di luar pagar.

Difahamkan, ketika kejadian, lelaki itu bersama tiga lagi suspek terdiri daripada dalang utama serta dua anggota polis dalam proses diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan berhubung kegiatan judi dalam talian dan penipuan Macau Scam.

Sebelum ini anggota polis berpangkat koperal serta lelaki bergelar Datuk direman selama 21 hari bermula semalam sehingga 3 November depan bagi membantu siasatan kes perjudian atas talian di Cheras.

Baru-baru ini, SPRM membongkar kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal memulakan perniagaan.

Ini susulan tangkapan lima individu termasuk Datuk dan lelaki bergelar Datuk Seri palsu pada 3 Oktober lalu oleh SPRM selepas seorang selebriti terkenal dipanggil untuk dirakam percakapan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki mendedahkan, pihaknya menahan 20 individu termasuk lapan pegawai polis dan seorang warga China, selain akan membuat beberapa siri tangkapan lain.

SPRM juga membekukan kira-kira RM101 juta daripada 736 akaun bank dan menyita wang tunai RM5 juta serta merampas 23 kenderaan mewah pelbagai jenama serta motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai dibeli hasil daripada aktiviti judi dalam talian tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 3:25 PM