MOHD Fahmy (empat dari kanan) dan Mohd Faizal (tiga dari kiri) bersama petugas barisan hadapan yang diwakili ATM, PDRM, Rela, KKM dan MBPP. FOTO Zuhainy Zulkiffli
MOHD Fahmy (empat dari kanan) dan Mohd Faizal (tiga dari kiri) bersama petugas barisan hadapan yang diwakili ATM, PDRM, Rela, KKM dan MBPP. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Seramai 302 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Wellesley, Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini, menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan dengan menghasilkan kad bagi menunjukkan sokongan kepada mereka yang bertungkus lumus memerangi pandemik Covid-19.

Kad ucapan itu diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Wellesley Mohd Faizal Abu Bakar berkata, inisiatif itu diilhamkan pihak sekolah, PIBG dan murid berkenaan.

Katanya, ada lima kad ucapan yang mana setiap satunya mengambil masa selama seminggu bagi disiapkan.

"Sepatutnya kad ini diserahkan kepada petugas barisan hadapan pada Ogos lalu sempena Bulan Kebangsaan namun berikutan prosedur operasi standard (SOP), ia terpaksa ditangguhkan.

"Kami sangat kagum dengan kesungguhan murid menghasilkan kad ucapan itu sebagai tanda sokongan kepada pasukan barisan hadapan," katanya ketika ditemui media dalam satu majlis, di sini.

Kad ucapan itu diserahkan kepada Koordinator Kemasyarakatan Jabatan Pencegahan Jenayah Deputi Superintendan Sathasivam Maniam mewakili PDRM, Ketua Cawangan Latih Mejar Mohamad Hafiz Raihan Md Miskan mewakili ATM Rejimen 509 Askar Wataniah, Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan Daerah Timur Laut Nor Natasya Mazlinda mewakili KKM.

Pegawai Rela Daerah Timur Laut Mahani Abu Hashim mewakili Rela dan Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Teh Chen Yee mewakili MBPP.

Hadir sama ialah Pegawai Pendidikan Daerah Timur Laut Wan Sajiri Wan Hassan dan Guru Besar Mohd Fahmy Mustafa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 3:45 PM