HAJIJI ketika mengangkat sumpah jawatan sebagai ADUN Sabah. FOTO Bernama
HAJIJI ketika mengangkat sumpah jawatan sebagai ADUN Sabah. FOTO Bernama
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, hari ini.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Kadzim M Yahya di dewan mesyuarat bangunan DUN Sabah, Teluk Likas, di sini.

Hajiji antara lima ADUN yang tidak hadir pada sidang khas DUN Sabah untuk upacara angkat sumpah ADUN, 9 Oktober lalu.

Ketika itu, Hajiji dilaporkan sedang menjalani kuarantin sebelum disahkan positif Covid-19 dan menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, dibenarkan keluar hospital, 18 Oktober lalu selepas disahkan pulih daripada Covid-19.

Turut mengangkat sumpah hari ini ialah ADUN Sulabayan yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Jaujan Sambakong.

Jaujan yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri turut dilaporkan menjalani kuarantin ketika upacara angkat sumpah pada 9 Oktober lalu.

Selain itu, dua ADUN Dilantik iaitu Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee dan Timbalan Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Amisah Yassin turut mengangkat sumpah hari ini.

Turut menyaksikan angkat sumpah itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan Setiausaha DUN Sabah, Shafaruddin Halide.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 4:10 PM