MAYAT lelaki dipercayai warga asing ditemui dalam longkang di Jalan Bestari, Sungai Kapar, Sabtu lalu. FOTO Ihsan IPD Klang Utara
MAYAT lelaki dipercayai warga asing ditemui dalam longkang di Jalan Bestari, Sungai Kapar, Sabtu lalu. FOTO Ihsan IPD Klang Utara
Norzamira Che Noh


Klang: Lelaki warga asing dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemui di dalam longkang di Jalan Bestari 2A/KU7 Sungai Kapar, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat berkenaan pada 1.19 tengah hari.

Katanya, siasatan daripada laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat itu mendapati si mati dipercayai warga asing berusia lingkungan 50-an.

"Tiada sebarang dokumen yang diperoleh daripada mayat berkenaan. Lelaki itu dianggarkan mempunyai ketinggian kira-kira 170 sentimeter (cm) serta mempunyai jambang yang panjang sehingga ke dada.

"Pakaian semasa dijumpai adalah jenis kurta berwarna ungu dan seluar pendek sehingga ke lutut berwarna putih," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan mayat yang tidak sempurna, lelaki berkenaan dipercayai berada dalam longkang berkenaan kira-kira seminggu.

Katanya, polis meminta sesiapa yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu tampil untuk memberikan maklumat bagi membantu siasatan di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

"Kes diklasifikasi sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 4:24 PM