FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung tindakan pihak tertentu yang mempersoal kesahihan data rasmi berkaitan Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan sentiasa memastikan data yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setiap hari adalah sahih.

"Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) hari ini memandang berat percubaan pihak tertentu yang mempersoal kesahihan data rasmi berkenaan.

"Percubaan ini adalah perbuatan jahat untuk sengaja menimbulkan kekeliruan dan mencetuskan ketidakyakinan terhadap usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19," katanya pada kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, SKMM dan PDRM sedang menyiasat kes itu, malah tindakan akan diambil ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau memberi jaminan bahawa data daripada KKM yang disiar oleh saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama adalah sahih.

"Saya menasihati rakyat sentiasa menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita daripada sumber rasmi atau dipercayai dan berhati-hati sebelum menyebarkan kandungan yang diragui kesahihannya," katanya.

Sebarang keraguan maklumat boleh dirujuk di www.sebenarnya.my atau menyalurkannya kepada Pasukan Respon Pantas di talian 03-89115103.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 4:43 PM