GAMBAR hiasan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
GAMBAR hiasan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Batu Sapi akan tetap diadakan seperti diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak ada kuasa untuk menahan dan menangguh pilihan raya kerana ia sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam Perlembagaan Persekutuan ditetapkan dengan jelas apabila berlaku kekosongan sama ada melalui pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun) atau kekosongan kerana kematian atau sebagainya, di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan PRK hendaklah dilakukan dalam tempoh 60 hari.

"Insya-Allah SPR akan membentangkan dan mengeluarkan SOP ketat berkaitan PRK Parlimen Batu Sapi," katanya pada sidang media, hari ini.

Mengulas berhubung pengecualian caj RM1 di semua rangkaian mesin juruwang automatik (ATM) MEPS, Ismail Sabri berkata, ia masih dikekalkan sehingga hari.

Menurutnya, sebarang keputusan sama ada sehingga bila ia akan diteruskan atau ditamatkan bergantung kepada Kementerian Kewangan.

"Bila pengecualian itu tamat, ia belum diputuskan Kementerian Kewangan. Setakat ini, nikmatilah faedah diberikan itu iaitu tidak perlu membayar caj RM1.

"Kita doakan, lagi lama lagi bagus tapi Kementerian Kewangan akan menentukan tamat tempoh atau tidak atau berapa lama ia akan dipanjangkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 5:48 PM