Premis perniagaan di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Bahru.  FOTO ZAIN AHMED
Premis perniagaan di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
Omar Ahmad


Johor Bahru: Pengurangan kadar sewa dari 20 hingga 50 peratus akan diberikan kepada 150 peniaga di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, di sini.

Kata putus itu dicapai dalam masyuarat yang diadakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Izhar Ahmad bersama pihak pengurusan terminal itu sebagai jalan penyelesaian kepada masalah dihadapi peniaga di situ.

Mohd Izhar berkata, pengurangan itu tertakluk kepada permohonan setiap peniaga.

"Alhamdulillah, dari hasil perbincangan dengan pihak pengurusan, sewa untuk peniaga akan dikurangkan dari 20 hingga 50 peratus tertakluk kepada permohonan setiap peniaga.

"Pihak pengurusan akan mengkaji setiap permohonan yang diterima," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baru-baru ini, tinjauan Harian Metro di kawasan lot perniagaan di situ mendapati suasana terminal berkenaan suram dan hambar berikutan ketiadaan pengunjung berbanding sebelum ini.

Sebelum penutupan sempadan Malaysia-Singapura akibat penularan wabak Covid-19, Mac lalu, dianggarkan kira-kira 100,000 pekerja Malaysia di Singapura berulang-alik dengan menaiki bas di terminal berkenaan.

Pengunjung Singapura juga datang berbelanja hampir setiap hari di situ.

Bagaimanapun sejak Mac lalu, pendapatan peniaga merosot sehingga 90 peratus, malah selepas Lembah Klang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sejak 14 Oktober lalu, keadaan makin kritikal bagi peniaga yang 90 peratus adalah Bumiputera.

Mohd Izhar sebelum ini memaklumkan semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula Mac lalu, peniaga diberikan pengecualian kadar sewa.

Malah pihak pengurusan turut memberi pengurangan kadar sewa secara berperingkat antara 30 hingga 50 peratus selepas PKP sebelum mengutip kadar sewa penuh pada Julai, Ogos dan September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 7:12 PM