FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,838 kes kemalangan dicatatkan di laluan antara Kilometer (KM) 0.6 hingga KM13.9 (laluan Bukit Raja-Subang) di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) sejak 2016 hingga Jun lalu berdasarkan maklumat direkodkan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

PLUS pada kenyataan hari ini, memaklumkan kira-kira 500,000 kenderaan menggunakan NKVE daripada 1.5 juta kenderaan di seluruh rangkaian lebuh raya pada setiap hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Jumlah yang besar ini memerlukan PLUS untuk menggunakan satu pendekatan berkesan bagi menjaga keselamatan pelanggan dengan baik sepanjang perjalanan mereka.

"Data 1,838 kes itu merangkumi kemalangan maut, parah, cedera ringan dan hanya kerosakan kenderaan, namun tidak membabitkan insiden langgar lari.

"Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding 6,363 kes seperti dilaporkan sebelum ini," katanya.

Menurutnya, pendekatan diguna pakai pihaknya berjaya menyaksikan penurunan jumlah kemalangan di lebuh raya kendaliannya sejak 2017.

"Pada 2016, 521,466 kemalangan direkodkan di seluruh negara dan hanya 14,532 atau 2.8 peratus berlaku di Lebuhraya PLUS.

"Peratusan itu menurun kepada 2.7 peratus pada 2017 dan kemudiannya hanya merekodkan 2.4 peratus pada 2018 dan 2019 walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah insiden trafik (kemalangan) di seluruh negara.

"Secara purata, di antara 2013 hingga 2019, hanya 2.6 peratus insiden trafik yang direkodkan di seluruh negara berlaku di Lebuhraya PLUS sekali gus membuktikan perjalanan menggunakan Lebuhraya PLUS adalah selamat," katanya.

Menurut kenyataan, di laluan Jalan Duta-Bukit Raja (NKVE), pelbagai pendekatan diambil oleh PLUS untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna.

"Ini termasuk memasang lampu-lampu jalan di sepanjang laluan terbabit. Berdasarkan rekod PLUS, jumlah kemalangan di NKVE menyaksikan penurunan secara konsisten sejak 2017.

"Pada masa sama, PLUS turut mengadakan audit keselamatan jalan raya dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap keselamatan lebuh raya sentiasa berada pada tahap optimum.

"Kajian serta maklumat yang diperoleh menerusi audit dijalankan ini membolehkan PLUS mengambil langkah penambahbaikan bagi memastikan lebuh raya sentiasa selamat untuk pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 8:07 PM