Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor melakukan sanitasi di sekitar UTC Selangor, Anggerik Mall Shah Alam bagi mencegah penularan wabak COVID-19. FOTO FAIZ ANUAR
Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor melakukan sanitasi di sekitar UTC Selangor, Anggerik Mall Shah Alam bagi mencegah penularan wabak COVID-19. FOTO FAIZ ANUAR
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Kesukaran mendapat kerjasama daripada warga asing ketika menjalankan Operasi Sanitasi Awam Covid-19 antara cabaran yang dihadapi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis bagaimanapun berkata, situasi itu hanya dilalui ketika menjalankan operasi terbabit di kawasan yang membabitkan warga asing.

"Biasanya waktu kami menjalankan operasi, kesukaran kami adalah apabila melaksanakannya di kawasan pekerja asing di mana mereka tidak faham dengan prosedur dan tata cara kerja kami.

"Ada kalanya, mereka kurang bagi kerjasama kepada bomba ketika menjalankan operasi sanitasi terbabit.

"Tetapi, warga tempatan amat memahami, malah berterima kasih kepada bomba kerana melaksanakan sanitasi di kawasan mereka. Mereka juga rasa selamat kerana bomba lakukan pembasmian di tempat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tinjauan kerja sanitasi di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Shah Alam oleh anggotanya di sini, semalam.

Turut hadir, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor dan Ketua Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Selangor, Mohamad Nazri Ar Azmi.

Norazam berkata, operasi sanitasi awam di bangunan empat tingkat itu membabitkan 16 anggota dan 9 pegawai kanan.

"Ada 17 agensi kerajaan dan 66 kedai yang beroperasi di sini. UTC membuat permohonan kerana lokasi ini menjadi tumpuan orang awam yang datang dengan urusan imigresen, semakan saman dan sebagainya.

"Bomba menggunakan bahan paling rendah dan selamat kerana ini tempat awam yang sedang beroperasi iaitu Floral Disinfection dan Dettol-Antiseptic Germicide," katanya.

Beliau berkata, sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu hingga kini, bomba Selangor melaksanakan operasi sanitasi awam di 916 lokasi yang termasuk agensi kerajaaan, pusat tahfiz, sekolah, rumah ibadat, pasar awam, perhentian bas, perumahan dan sebagainya.

"Bangunan tumpuan awam yang sudah melaksanakan sanitasi membabitkan 600 agensi kerajaan dan pasar awam sehingga hari ini. Hari ini, selain UTC, bomba melaksanakan sanitasi di Sepang dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Setakat ini, bomba belum terima permohonan daripada kompleks beli-belah, mungkin pihak terbabit melakukan kerjasama dengan pekerja pembersihan. Selain JBPM, PBT dan pihak kesihatan daerah juga melaksanakan operasi sanitasi.

"Secara keseluruhannya, bomba di setiap zon ada pasukan bertanggungjawab melaksanakan sanitasi bergantung kepada kekuatan setiap balai bomba," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 7:15 AM