GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Mamat

Ayer Keroh: Kerajaan Melaka mengarahkan semua penganjuran majlis dan acara rasmi kerajaan negeri ditangguhkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan berkata, Mesyuarat Keselamatan Negara (MKN) negeri yang bersidang pada 23 Oktober lalu memutuskan penangguhan itu berkuat kuasa serta-merta sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"Keputusan ini adalah berdasarkan laporan peningkatan kes baharu positif Covid-19 di Melaka dan makluman daripada Jabatan Kesihatan negeri mengenai kemungkinan akan berlaku penularan wabak dalam komuniti setempat.

"Kerajaan negeri percaya kemudahan kesihatan di negeri ini sudah bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk gelombang wabak itu," katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasim berkata, kerajaan negeri mahu supaya semua pihak sentiasa mematuhi arahan MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal, tidak bersentuhan termasuk bersalaman, elakkan berada dalam tempat yang sesak dan sempit serta memakai pelitup muka di kawasan awam.

"Diharap semua pihak dapat memberikan kerjasama bagi memastikan penularan wabak ini dapat dihentikan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 9:48 AM