Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan merogol anak tirinya berusia 12 tahun, antara Mac hingga Jun lalu.

Tertuduh berusia 29 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Tertuduh didakwa merogol anak tirinya itu di bilik utama sebuah rumah di sini, antara 17 Mac hingga 29 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh yang memakai kemeja-T hitam dilihat terpinga-pinga dan keliru ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Ia menyebabkan jurubahasa berulang kali bertanya sama ada dia memahami pertuduhan berkenaan selain pengakuan yang mahu dibuatnya.

Hakim bertanya latar belakang tertuduh yang berasal dari Sabah itu, namun dia terus mendiamkan diri.

Kamarudin kemudian bertanya semula sama ada tertuduh memahami pertuduhan dan pengakuannya sama ada mahu mengaku atau tidak, apabila dia dilihat terus terpinga-pinga.

"Kamu berasal dari mana? Sabah kan. Faham Bahasa Malaysia kan? Takkanlah sudah 30 tahun masih tidak faham Bahasa Malaysia, " katanya.

Tertuduh akhirnya meminta untuk dibicarakan selepas diterangkan semula pertuduhan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya memohon jaminan tidak diberikan ke atas tertuduh berikutan dia dan mangsa serta ibunya masih tinggal di rumah sama dan dibimbangi akan mengganggu mangsa.

LELAKI yang dituduh merogol anak tirinya berusia 12 tahun antara Mac hingga Jun lalu. FOTO NSTP
LELAKI yang dituduh merogol anak tirinya berusia 12 tahun antara Mac hingga Jun lalu. FOTO NSTP

Hakim kemudian memerintahkan tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh selepas dia terus mendiamkan diri ketika diminta membuat rayuan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Disember bagi penyerahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 11:56 AM