Pemandu SUV rentung dalam kenderaannya yang terbakar berhampiran Stesen LRT Kota Warisan. FOTO Ihsan Bomba
Pemandu SUV rentung dalam kenderaannya yang terbakar berhampiran Stesen LRT Kota Warisan. FOTO Ihsan Bomba
Samadi Ahmad


Sepang: Seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) rentung selepas kenderaan dipandunya terbakar berhampiran Stesen LRT Kota Warisan, di sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat KLIA bersama Unit Forensik Kebakaran dikerah ke lokasi selepas menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata, sebaik tiba pada 4.47 pagi, pihaknya mendapati sebuah SUV Toyota Harrier terbakar sebelum operasi memadam kebakaran dijalankan.

"Toyota Harrier itu terbakar 100 peratus, manakala pemandunya rentung. Identiti mangsa tidak diketahui.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran sama ada akibat kemalangan atau ada unsur jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 12:20 PM