Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan negeri menyumbang 18 basikal elektrik serta lapan jet ski kepada polis Selangor bagi tujuan pemantauan sekitar pesisir pantai negeri itu dalam mengenalpasti cubaan menceroboh sempadan oleh pendatang asing tanpa izin (Pati).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.15 juta bagi menyediakan kenderaan yang akan digunakan bermula 1 November ini.

"Basikal elektrik serta jet ski ini akan digunakan dalam pemantauan menerusi Ops Benteng yang melingkari sempadan utama Selangor dengan negara luar seperti Indonesia.

"Selain daripada pos kawalan, mereka juga memerlukan kenderaan yang boleh bertindak dan bergerak pantas di atas pasir serta kawasan belukar.

"Justeru, basikal ini kita sediakan selepas dipilih dan dipantau sendiri oleh polis Selangor. Kita memilih basikal yang boleh dicaj, mudah alih serta ringan tetapi mempunyai kepantasan dan kekuatan seperti motosikal dan boleh digunakan di kawasan pesisir pantai," katanya ketika ditemui selepas sesi penyerahan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Hadir menerima sumbangan berkenaan adalah Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin dan Pengarah Penjara Selangor dan Kuala Lumpur Datuk Mohd Sakeri Dollah.

Amirudin berkata, jet ski akan digunakan untuk memantau bot dari negara luar yang membawa Pati masuk ke negara ini menerusi Selangor.

Katanya, sumbangan kenderaan itu dilakukan selepas mendapati Pati menjadi antara faktor kepada gelombang terbaharu penularan wabak Covid-19.

DATUK Seri Amirudin (tiga dari kiri), Datuk Noor Azam Jamaludin (tiga dari kanan) danDatuk Mohd Sakeri Dollah (kiri) pada Penyerahan Pakaian Perlindungan Diri (PPE), Jet Ski dan Basikal Elektrik kepada PDRM Selangor dan Jabatan Penjara Malaysia. FOTO Faiz Anuar
DATUK Seri Amirudin (tiga dari kiri), Datuk Noor Azam Jamaludin (tiga dari kanan) danDatuk Mohd Sakeri Dollah (kiri) pada Penyerahan Pakaian Perlindungan Diri (PPE), Jet Ski dan Basikal Elektrik kepada PDRM Selangor dan Jabatan Penjara Malaysia. FOTO Faiz Anuar

Selain itu, kerajaan negeri turut membekalkan beberapa peralatan penjagaan kesihatan seperti 100 unit sut Peralatan Perlindungan Diri (PPE), 500 unit perisai muka, 300 unit sarung tangan, 200 unit gaun, 500 unit pelitup muka, 500 cecair nyahkuman dan 200 apron kepada Jabatan Penjara Malaysia Negeri Selangor sebagai sebahagian daripada usaha mengurus pandemik di penjara-penjara sedia ada.

"Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak membantu usaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terbela," katanya.

Dalam pada itu, Noor Azam mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan dengan menyediakan kemudahan kenderaan untuk pemantauan sempadan negeri ini.

"Kemudahan seperti jet ski banyak ditempatkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagaimanapun kita turut memerlukan kemudahan itu untuk membuat rondaan di persisiran pantai justeru saya memohon kepada kerajaan negeri untuk diberikan kemudahan ini kepada Polis Selangor," katanya.

Beliau berkata, basikal elektrik akan ditempatkan di pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di persisiran pantai yang mana terdapat 18 pos di seluruh negeri ini, manakala jet ski akan ditempatkan di pos Pasukan Polis Marin (PPM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 1:49 PM