PERTUBUHAN Badan Amal Warga Asnaf Malaysia mengagihkan bantuan penerima. FOTO ihsan BAWA
PERTUBUHAN Badan Amal Warga Asnaf Malaysia mengagihkan bantuan penerima. FOTO ihsan BAWA
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: "Ada yang gembira, menangis menerima bantuan diberi. Kebanyakan mereka ini terlantar sakit dan dibuang kerja akibat Covid-19.

"Melihat senyuman dan tangisan mereka membuatkan saya tekad bantuan ini tidak boleh terputus," demikian pengalaman dilalui Presiden Pertubuhan Badan Amal Warga Asnaf Malaysia (BAWA), Amilludin Latip ketika turun padang menyantuni golongan memerlukan di ibu kota.

Amiluddin berkata, ketika ini pihaknya mensasarkan program bantuan untuk menyantuni miskin bandar yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, pemilihan penerima bantuan berdasarkan persatuan penduduk, kad bantuan sedia ada selain dikenal pasti menerusi sukarelawan pertubuhan berkenaan.

"Sasaran kita ialah menyantuni miskin bandar yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang kita kenal pasti sangat terkesan kerana dibuang kerja dan terlantar sakit.

"Ada juga antara mereka belum dapat bantuan kerana kes masih baharu, tetapi kita menjadi pemudah cara dengan menyokong permohonan mereka kepada pihak berkaitan.

"Sehingga kini lebih 250 keluarga sudah menerima bantuan masing-masing sejak program itu dilaksanakan 11 Oktober lalu. Kita rancang akan menyalurkan lagi sumbangan kepada 350 penerima termasuk Kuala Lumpur dan Selangor," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, selain bantuan barangan keperluan asas, mereka menerapkan konsep bantuan berterusan dengan cara meningkatkan kemahiran asnaf untuk membantu ekonomi golongan itu.

"Konsep kami jangan beri bantuan sekali habis macam itu sahaja sebaliknya kita cuba terapkan kemahiran untuk memberi peluang mereka menjana pendapatan.

"Setiap Ahad, kami mengadakan kelas kemahiran di Taman Permata antaranya jahitan, membuat kek dan kuih muih kepada asnaf yang berminat.

"Melalui program ini kami bekerjasama dengan beberapa rakan strategi iaitu syarikat untuk menempatkan asnaf bekerja mengikut bidang kemahiran masing-masing.

"Buat masa ini produk sedia ada kami ialah penghasilan jus asam boi serta butik pakaian yang dijalankan golongan ini sebelum hasil produk dipasarkan oleh kami," katanya.

Katanya, BAWA mengalu-alukan mana-mana pihak untuk tampil bekerjasama dan memberikan sumbangan kepada golongan asnaf.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 2:22 PM