GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang lelaki bergelar 'Datuk Seri' bersama dua anggota polis memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi di sini, berhubung penahanan mereka mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili seorang anggota polis itu berkata, pihaknya memfailkan permohonan itu pada 19 Oktober lalu.

"Pendengaran permohonan itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin pada 2 November ini.

"Walaupun pada tarikh tersebut masih Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun mahkamah akan bersidang untuk permohonan penting seperti kes ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ketiga-tiga lelaki itu yang berusia antara 34 hingga 39 tahun memohon menyemak keputusan Mahkamah Majistret pada 14 Oktober lalu yang membenarkan permohonan polis untuk menahan reman mereka mengikut POCA selama 21 hari.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, polis menahan semula tiga individu selepas mahkamah menolak perintah reman yang dimohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pusat panggilan membabitkan kegiatan judi dalam talian.

Katanya, lelaki itu dan dua anggota polis ditahan selepas dibebaskan SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 2:35 PM