GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua anggota polis ketika ditahan di lokap Balai Polis Selayang, dua hari lalu.

Mohd Hazeran Sudin, 35, penganggur, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua anggota polis iaitu Koperal Mohd Khairullizam Atan dan Lans Koperal Aron Pungin ketika mereka sedang menjalankan tugas di Balai Polis Selayang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini pada 11 pagi, 26 Oktober lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Difahamkan tertuduh telah bertindak agresif dengan cara mencucuk mata kiri seorang daripada anggota polis itu dengan jari tangan kanannya.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan tidak mampu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Disember untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Mohd Hazeran mengaku bersalah melakukan khianat dengan menendang motosikal Yamaha 135LC milik jirannya Meor Mohamad Nor Affendy Meor Zulkifli, 23, sehingga rosak, di kawasan Pangsapuri Mutiara Gombak Batu 7, di sini, pada 7 pagi, 25 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan tarikh sama untuk menjatuhkan hukuman dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 3:01 PM