KERETA peronda (MPV) milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilarikan pada Sabtu lalu. FOTO Facebook
KERETA peronda (MPV) milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilarikan pada Sabtu lalu. FOTO Facebook
Audrey Dermawan

Butterworth: Wanita yang ditahan bersama lelaki yang melarikan sebuah kenderaan Unit Kereta Peronda Polis (PDRM) pada Ahad lalu disahkan bukan teman wanitanya, sebaliknya hanya menjadi mangsa keadaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan lanjut terhadap wanita berusia 21 tahun itu mendapatinya dibawa oleh adik lelaki berkenaan dari tempat kerjanya di Tasek Gelugor.

"Dia bukan teman wanita lelaki yang ditangkap bersamanya di dalam kereta MPV itu di Shah Alam seperti yang disangkakan oleh netizen.

"Suspek juga mengambil dua telefon bimbit dan sejumlah wang milik wanita itu dan mengancam akan mencederakannya jika dia tidak mengikutnya," katanya.

Menurutnya, wanita itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin lalu dan turut membuat laporan polis mengenai kejadian terbabit.

Menurutnya, siasatan juga mendapati suspek yang mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan dengan jenayah dan dadah bertindak seperti itu kerana ingin bertemu dengan isterinya di Klang.

Katanya, maklumat juga mendapati suspek lelaki itu mengalami masalah mental.

Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh terhadap pegawai dan anggotanya atas kejadian kereta MPV jenis Honda Civic 1.8S yang dicuri dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara pada Sabtu lalu.

Menurutnya, pihaknya tidak menyembunyikan apa-apa dan tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai dan anggota yang didapati cuai dalam kejadian itu.

"Siasatan masih dijalankan. Semua pegawai dan anggota yang terbabit akan dipanggil untuk memberikan keterangan bagi kita menentukan kemungkinan unsur kecuaian berlaku dalam kejadian terbabit.

"Saya hanya ingin mengatakan bahawa kami tidak pernah menghentikan penyiasatan terhadap (polis), dan siasatan kami akan telus.

"Sekiranya ada unsur kelalaian, tindakan tegas termasuk tindakan tatatertib, akan dilakukan terhadap mereka yang terbabit," katanya kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya mengatakan bahawa jabatan itu akan menjalankan siasatan menyeluruh yang membabitkan semua aspek termasuk kemungkinan kecuaian pihak yang bertugas ketika kejadian terbabit.

Berita berkaitan

Lelaki larikan MPV polis hadapi 6 pertuduhan [METROTV]

JIPS siasat unsur kecuaian kes MPV dilarikan

Dua beradik, awek direman empat hari

Nak tunjuk hebat depan awek

Pasangan dicekup, larikan MPV polis

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 3:41 PM