MUSA. FOTO Arkib NSTP
MUSA. FOTO Arkib NSTP
Hazri A Bakar

Johor Bahru: Sejajar dengan fungsi pasukan iaitu mencegah sebelum melaksanakan penguatkuasaan, polis juga perlu melakukan pendekatan sama bagi mengelak pegawai dan anggotanya terjerumus ke kancah rasuah.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa mengira pangkat dan jawatan perlu menunjukkan teladan yang baik supaya tidak dipandang jelek dan beri gambaran wujud undang-undang berbeza untuk rakyat dan pemimpin.

Katanya, PDRM mesti melakukan pencegahan terlebih dahulu sebelum ada agensi lain melakukan tindakan kerana ia sekali gus mencemarkan imej pasukan.

"Sebenarnya arahan Perintah Tetap Ketua Polis Negara sudah jelas tentang pengisytiharan harta bagi setiap anggota dan pegawai polis bagi mengelak sumber perolehan salah," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut menahan pegawai kanan polis berkaitan siasatan dakwaan melindungi kegiatan perjudian dalam talian dan Macau Scam didalangi seorang Datuk baru-baru ini.

Musa berkata berkata, jika tiada pencegahan awal dilakukan dalam pasukan, ia pasti akan menjejaskan nama baik serta imej keseluruhan organisasi itu yang dipertanggungjawabkan dengan amanah melaksanakan undang-undang.

Menurutnya, sebelum pembelian harta, setiap pegawai dan anggota polis perlu mendapatkan kelulusan pegawai tertinggi dan arahan ini sebenarnya dapat mencegah sebarang kemungkinan perolehan wang yang menyalahi undang-undang.

"Tiada masalah untuk membeli kereta atau rumah jika mengikut kemampuan. Tetapi jika melangkaui kemampuan, sudah tentu ia menimbulkan kecurigaan dan masyarakat akan mula meragui integriti kita.

"Saya dahulu pun, ketika hendak belikan kereta untuk anak saya bagi memudahkannya ke kolej, perlu mendapatkan kelulusan kerana perintah yang dikeluarkan itu tidak mengira pangkat.

"Kita perlu kembali kepada memperketatkan disiplin pegawai dan anggota kerana ia sememangnya sudah ada dalam pasukan, selain pegawai kanan perlu kerap memeriksa serta memantau apa yang dilakukan oleh anggota bawahan mereka," tambahnya.

Musa mula dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 12 November 2006 hingga 12 September 2010 pernah memperkenalkan lencana "Saya Anti Rasuah" yang turut dipakai di pakaian seragam pegawai dan anggota polis ketika itu.

Katanya, ia adalah pendekatan psikologi kepada pemakai selain terhadap orang awam yang berdepan dengan pegawai dan anggota agensi penguat kuasa itu.

Dalam kalangan pegawai dan anggota polis, Musa ketika perkhidmatannya dikenali sebagai ketua yang tegas dan turut memberi amaran kepada anak buahnya untuk tidak terjerumus ke kancah rasuah termasuk memiliki harta melebihi kemampuan.

Selain amaran, beliau turut melakukan pemeriksaan mengejut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) selain mendapatkan kerjasama SPRM ketika melakukan operasi atau serbuan.

Harian Metro pada 10 Oktober lalu melaporkan, SPRM turut merakam keterangan tiga Ketua Polis Daerah (KPD) bagi membantu siasatan itu selepas menahan beberapa pegawai kanan polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Selangor dan IPD.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 3:47 PM