PENGASAS Persatuan Amal Sabah, Masrul Guding (kanan) dan pengerusinya, Soffian Jais (kiri) bersama van  perkhidmatan menghantar jenazah secara percuma di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Masrul Guding
PENGASAS Persatuan Amal Sabah, Masrul Guding (kanan) dan pengerusinya, Soffian Jais (kiri) bersama van perkhidmatan menghantar jenazah secara percuma di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Masrul Guding
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Kru Van Jenazah Percuma Kota Kinabalu tetap meneruskan khidmat untuk membantu golongan kurang berkemampuan menghantar jenazah ke tanah perkuburan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Perkhidmatan ditawarkan Persatuan Amal Sabah yang beroperasi sejak September lalu itu disediakan untuk membantu keluarga yang kehilangan orang tersayang di sekitar ibu negeri.

Pengasasnya, Masrul Guding berkata, walaupun tidak mengendalikan jenazah dijangkiti Covid-19, kebimbangan tetap ada lebih-lebih lagi dengan peningkatan kes ketika ini.

"Hanya pengendali van jenazah diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dibenar mengendalikan jenazah positif Covid-19. Namun, kita tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Perkhidmatan kami disediakan kepada semua, tidak mengira sama ada Islam atau bukan Islam, jauh atau dekat, kerana niat kita adalah untuk membantu mereka yang kurang mampu.

"Syarat asasnya ialah jenazah mestilah berada di Kota Kinabalu. Contoh, meninggal di Hospital Queen Elizabeth (HQE). Kita sedia hantar walau ke mana saja lokasi di seluruh Sabah," katanya.

Masrul, 30, berkata, beliau terdorong menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma kerana menyedari kos penghantaran jenazah berbayar sangat membebankan bagi golongan kurang mampu.

"Saya terkilan apabila ada pihak mengenakan bayaran pada waris untuk mengurus jenazah namun menggunakan perkhidmatan van jenazah percuma yang kami sediakan.

"Kami pernah beberapa kali berdepan kes seperti ini. Perbuatan itu menjejaskan reputasi kami kerana Van Jenazah Percuma Kota Kinabalu tidak mengenakan bayaran kepada waris. Ini kerja fardu kifayah yang perlu dilaksanakan," katanya.

KRU Van Jenazah Percuma Kota Kinabalu membantu menghantar jenazah terus ke tanah perkuburan di seluruh Sabah. FOTO Ihsan Masrul Guding
KRU Van Jenazah Percuma Kota Kinabalu membantu menghantar jenazah terus ke tanah perkuburan di seluruh Sabah. FOTO Ihsan Masrul Guding

Berikutan itu, Masrul turut merancang untuk mengembangkan lagi perkhidmatan percuma termasuk pengebumian supaya tiada lagi golongan kurang mampu terpaksa membayar untuk mengurus jenazah waris mereka.

Katanya, sepanjang kira-kira sebulan beroperasi, Van Jenazah Percuma Kota Kinabalu sudah menghantar lebih 40 jenazah dengan lokasi paling jauh di Kudat yang jaraknya kira-kira 190 kilometer.

"Setiap hari kru Van Jenazah Percuma Kota Kinabalu hanya mampu membantu menghantar satu atau dua jenazah mengikut jarak penghantaran kerana hanya memiliki sebuah van.

"Namun, kita berusaha untuk menambah lagi van supaya dapat membantu lebih ramai orang kerana sebenarnya ramai yang meminta khidmat kami tetapi apakan daya, kenderaan terhad," katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan yang ditawarkan 24 jam sehari itu disertai 15 kru sukarela dengan diketuai sepupunya, Soffian Jais sebagai Pengerusi Persatuan Amal Sabah.

Masrul dan kru Van Jenazah Percuma Kota Kinabalu boleh dihubungi di talian 010-9307183.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 4:15 PM