PENGHUNI bangunan komersial di Plaza Hentian Kajang menjalani saringan Covid-19. FOTO Hazreen Mohamad
PENGHUNI bangunan komersial di Plaza Hentian Kajang menjalani saringan Covid-19. FOTO Hazreen Mohamad
Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: Sebahagian penghuni bangunan komersial di Plaza Hentian Kajang, di sini, menjalani ujian saringan Covid-19 bermula kira-kira 3 petang tadi.

Tinjauan wartawan Harian Metro di lokasi mendapati petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan ujian saringan berkenaan di beberapa lokasi di dalam kawasan plaza terbabit.

Malah, ada pengumuman dilakukan pihak berkuasa di kawasan ini yang memaklumkan ada kedai runcit beroperasi, namun hanya seorang wakil daripada setiap unit rumah dibenarkan keluar untuk membeli barang keperluan.

Difahamkan terdapat 14 blok di dalam kawasan plaza berkenaan merangkumi premis perniagaan, kediaman penduduk serta asrama pekerja warga asing.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian Kajang bermula hari ini hingga 9 November nanti susulan peningkatan kes positif di kawasan terbabit.

Beliau memaklumkan seramai 7,500 penduduk di kawasan berkenaan terbabit dengan perlaksanaan itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 5:17 PM