HAJIJI. FOTO Arkib NSTP
HAJIJI. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri meluluskan RM160 juta Bantuan Prihatin Covid-19 bagi membantu meringankan beban rakyat daripada semua golongan yang terkesan disebabkan pandemik terbabit.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, bantuan itu adalah tambahan kepada peruntukan segera RM50 juta yang diluluskan kerajaan negeri awal bulan ini.

"Peruntukan berbentuk kewangan ini akan disalurkan melalui pelbagai kementerian. Ia akan memberi manfaat kepada golongan terjejas daripada sektor seperti pertanian, pelancongan (pemandu pelancong, porter, penyelam) dan pengangkutan (teksi, bas, lori) selain penjaja, anak yatim dan ibu tunggal," katanya.

Beliau berkata demikian pada kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet mingguan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, peruntukan berkenaan akan turut dinikmati penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

"Sejumlah RM1 juta akan disalurkan kepada semua universiti untuk membantu penuntut yang terjejas akibat Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Sabah bagi membincangkan kaedah untuk meningkatkan lagi ekonomi negeri ini.

Katanya, keahliannya pula membabitkan pihak industri, peniaga, pertubuhan bukan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 5:47 PM