Kelihatan anggota tentera dan polis sedang berkawal di hadapan Flat Sungai Emas, Kuala Langat pada hari ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Kelihatan anggota tentera dan polis sedang berkawal di hadapan Flat Sungai Emas, Kuala Langat pada hari ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Ruwaida Md Zain

Kuala Langat: Majoriti atau 99 peratus penduduk Flat Sungai Emas di sini, yang diarah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (PKPD) adalah membabitkan warga tempatan.

Daripada keseluruhan jumlah warganegara Malaysia yang mendiami 338 unit kediaman itu, 83 peratus adalah berasal dari Sabah.

Pegawai Tanah / Daerah Kuala Langat, Mohd. Jusni Hashim berkata, PKPD itu membabitkan keseluruhan tujuh blok Flat Sungai Emas dan perumahan teres yang terletak di Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32, Taman Sungai Emas di sini.

Beliau berkata, PKPD itu dilaksanakan berikutan peningkatan kes positif kluster Bah Manggis di kawasan itu.

"Kluster Bah Manggis ini bermula daripada kes index ke 12,866 yang positif Covid-19 hasil saringan bergejala pada 5 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Tawau, Sabah.

"Kluster ini berkembang sehingga generasi ke tujuh setakat hari ini, Kluster Bah Manggis menyumbangkan sebanyak 65 kes positif dengan 63 daripadanya dikesan di Kuala Langat, masing-masing satu di Tawau dan Rembau, Negeri Sembilan," katanya dalam sidang media Perkembangan Situasi Covid-19 di kawasan PKPD Flat Sungai Emas Jalan 31 & Jalan 32 Daerah Kuala Lamgat, di sini petang tadi.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman; Panglima Briged Ke 11 Infantri Kem Sungai Buloh, Brigedier General Norsham Md Tap; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Langat, Dr Wan Rahman Salleh.

Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat melaksanakan beberapa sesi saringan membabitkan kontak rapat dan saringan bersasar di beberapa lokaliti berkaitan sejak 18 Oktober lalu.

"Sehingga 28 Oktober, seramai 1,923 kontak dikenalpasti daripada kluster ini disaring.

"Selain itu saringan turut dilaksanakan terhadap pelajar daripada 10 sekolah dan dua pra sekolah yang berdekatan dengan kluster Bah Manggis.

"Sehingga hari ini, terdapat dua kes positif dikesan dalam kalangan pelajar dan murid sekolah yang menjalani saringan bersasar berkenaan," katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan membuka Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di dalam kawasan itu yang beroperasi 24 jam sehari sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan.

"Bagi memudahkan penduduk, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat juga menawarkan perkhidmatan pembelian secara online di https://rocketdelivery.my/ dan penghantaran terus kepada penduduk selain pembukaan 'kedai bergerak' di dalam kawasan TEMCO ini.

"Penduduk boleh membuat pesanan pembelian makanan dan keperluan harian melalui majikan, saudara-mara dan kenalan, namun, penghantaran hanya dibenarkan setakat di pintu masuk utama sahaja," katanya.

Dalam pada itu katanya, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang berhasrat untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk dialu-alukan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 7:07 PM