KHEMAH sekatan yang didirikan di kawasan Kampung Haji Baki. FOTO Melvin Joni
KHEMAH sekatan yang didirikan di kawasan Kampung Haji Baki. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

Kuching: Dua lorong tikus antara enam laluan keluar masuk ke Kampung Haji Baki di sini, yang ditutup sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampung itu.

PKPD di kampung itu berkuat kuasa tengah malam ini sehingga 11 November ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, laluan itu ialah di hadapan lampu isyarat Jalan Haji Baki-Batu Kitang (pusat penjaja Kampung Haji Baki), Lorong 16 Blok C, Lorong 1 (Tanah Perkuburan Baha'i) dan Jalan Kampung Semeba.

Dua lorong tikus terbabit pula ialah laluan motosikal dan pejalan kaki di Lorong 7A Blok A serta Lorong 6C Blok A.

"Khemah sudah didirikan di setiap laluan terbabit bagi memastikan tiada penduduk mahu pun orang luar keluar masuk ke dalam kawasan kampung ini," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Aidil, 70 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 24 anggota Rela dan 24 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan ditugaskan untuk berkawal di khemah-khemah berkenaan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) semalam, memutuskan melaksanakan PKPD di Kampung Haji Baki apabila 25 daripada 49 kes jangkitan Covid-19 yang direkodkan membabitkan kampung itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 7:28 PM