Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz bercakap pada sidang media berhubung tangkapan jenayah judi atas talian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz bercakap pada sidang media berhubung tangkapan jenayah judi atas talian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Menyewa kediaman 'berpagar dan berpengawal' di kawasan perumahan elit sebagai lokasi menjalankan aktiviti judi dalam talian.

Bagaimanapun, taktik licik berkenaan berjaya dibongkar hasil serbuan pasukan Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sebuah rumah teres di Villa Garden, Sunway City di sini pada 9.30 malam Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, tujuh individu termasuk dua wanita warga asing ditahan selepas disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian di kediaman terbabit sejak lapan bulan lalu.

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam yang curiga dengan aktiviti di kediaman itu.

"Kesemua mereka yang ditahan itu terdiri daripada lima lelaki warga Indonesia berusia antara 24 hingga 38 tahun dan dua wanita warga Indonesia berusia 21 dan 23 tahun," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

A Asmadi berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan digunakan untuk kegiatan judi dalam talian itu.

"Antara barangan yang dirampas adalah tiga set komputer riba, 20 telefon bimbit pelbagai jenama, modem, buku catatan judi dalam talian serta tujuh pasport kerakyatan Indonesia," katanya.

Beliau berkata, modus operandi adalah mempromosikan judi dalam talian melalui aplikasi WeChat, Facebook dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Menurutnya, pelbagai jenis permainan yang ditawarkan seperti Kiss, 918, Joker, Roulete, Kiss Kaya dan Newturn serta mensasarkan pelanggan seramai 150 hingga 200 orang tempatan dengan transaksi harian kira-kira RM5,000 hingga RM15,000 melalui atas talian.

"Kediaman berkenaan disewa sejak bulan Februari lalu yang dibantu oleh seorang lelaki tempatan yang dipanggil sebagai Chow.

"Operator terbabit ditawarkan gaji antara RM2,000 hingga RM5,000 oleh sindiket berdasarkan jualan, semua barang keperluan peribadi dan makanan diuruskan oleh sindiket, mereka langsung tidak keluar rumah.

Katanya, kesemua yang ditahan masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan didapati sudah tamat tempoh.

"Kesemua mereka yang ditahan direman hingga 7 November ini dan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana mempromosikan judi yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda.

"Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan penjara tidak lebih lima tahun dan denda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 7:49 PM