Serbuan yang dijalankan ke atas pusat panggilan perjudian dalam talian yang menggunakan sebuah rumah di Winsor Estate, Batu 4 di sini hari ini. FOTO MELVIN JONI
Serbuan yang dijalankan ke atas pusat panggilan perjudian dalam talian yang menggunakan sebuah rumah di Winsor Estate, Batu 4 di sini hari ini. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Kuching: Empat belas individu ditahan pada serbuan ke atas sebuah rumah yang dijadikan pusat panggilan judi dalam talian di Winsor Estate, Batu 4 di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Dennis Leong Soon Kuai berkata, serbuan dijalankan anggota D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

"Lapan lelaki dan empat wanita warga asing selain dua lelaki tempatan berusia 20 hingga 29 tahun ditahan pada serbuan jam 2.45 petang.

"Turut dirampas 10 komputer, lima modem dan 12 telefon bimbit.

"Sindiket ini aktif hampir setahun dan meraih pendapatan hingga RM300,000 sebulan," katanya pada kenyataan.

Menurut beliau, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 7:55 PM