Anggota tentera memasang kawat berduri di Flat Sungai Emas, Kuala Langat berikutan kawasan berkenaan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat wabak COVID-19. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Anggota tentera memasang kawat berduri di Flat Sungai Emas, Kuala Langat berikutan kawasan berkenaan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat wabak COVID-19. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Ruwaida Md Zain

Kuala Langat: Kira-kira 100 hingga 200 penduduk di Flat Sungai Emas serta perumahan teres di Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32 di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (PKPD) belum tampil membuat saringan Covid-19.

Pegawai Tanah/Daerah Kuala Langat, Mohd. Jusni Hashim berkata, semasa saringan dijalankan lokaliti berkenaan, ada penduduk dipercayai enggan membuat saringan.

"Pada 9 Oktober lalu, ada antara mereka datang membuat pemeriksaan kesihatan, dari situ kita dapati ada dalam kalangan mereka dijangkiti Covid-19.

"Bila dikenal pasti ramai datang dari kawasan flat ini, lebih banyak saringan dibuat pada 18 Oktober sehingga Ahad lalu.

"Semasa kita buat, kebanyakan penduduk yang buat 'swab test' adalah secara sukarela. Jadi bila sukarela ini, kita dapati ramai yang tidak turun dan dianggarkan antara 100 hingga 200 orang," katanya di kawasan PKPD Flat Sungai Emas Jalan 31 & Jalan 32 Daerah Kuala Langat, di sini, tadi.

Justeru itu, Mohd. Jusni berharap dengan pemasangan kawad duri itu, baki penduduk yang belum membuat saringan dapat memberi kerjasama sebaik mungkin.

"Ada dalam kalangan mereka tidak buat saringan dan berlegar-legar dalam kawasan ini. Ia dibimbangi akan menyebabkan berlaku perebakan Covid-19. Isunya dalam kalangan kanak-kanak, mereka tidak tahu dan tidak dapat maklumat dengan siapa mereka bermain atau berjumpa.

"Esok, sembilan pasukan kami akan bergerak dari pintu ke pintu rumah dalam kawasan ini, yang mana yang tiada Annex 14.. kita akan minta mereka buat saringan.

"Ini wajib sebab kita mahu memastikan semua yang berada dalam kawasan PKPD ini disaring sepenuhnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 8:06 PM