Proses mencari dan menyelamat warga emas lelaki, Lee Ah Kau, 71 yang dilakukan oleh anggota JBPM Perlis selepas mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Gua Ikan, Kaki Bukit, disambung esok. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Proses mencari dan menyelamat warga emas lelaki, Lee Ah Kau, 71 yang dilakukan oleh anggota JBPM Perlis selepas mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Gua Ikan, Kaki Bukit, disambung esok. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Padang Besar: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga emas yang dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai dekat Gua Ikan, Kaki Bukit, di sini, hari ini, akan disambung 9 pagi esok.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Mohd Firdaus Yusop berkata, usaha mencari mangsa ditangguhkan pada 6 petang hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memohon bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM bagi membantu proses mencari mangsa berusia 71 tahun itu.

"Esok unit skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kangar akan membantu anggota BBP Padang Besar.

"Bagaimanapun, pada malam ini setiap empat jam anggota JBPM akan turun ke lokasi bagi melakukan pemantauan secara berkala," katanya kepada media, hari ini.

Mengulas mengenai kedalaman sungai di lokasi mangsa dipercayai lemas, Mohd Firdaus berkata, sungai terbabit terbahagi kepada dua bahagian iaitu di dalam dan luar gua.

Beliau berkata, pada bahagian dalam gua, dasar sungai berada pada paras 6 meter manakala di luar gua sedalam 4.5 meter.

Katanya, pihaknya sudah melakukan selaman pencarian sebanyak dua kali pada kedua-dua bahagian berkenaan, namun mangsa gagal ditemui.

Dalam kejadian 7 pagi hari ini, mangsa, Lee Ah Kau, 71, disedari keluar dari rumahnya oleh ahli keluarga dan ke sungai terbabit selepas dia gagal ditemui di sekitar pekan Kaki Bukit dan rumah kenalannya.

Motosikal mangsa kemudian ditemui anaknya pada 9 pagi bersama pakaian sebelum wanita berusia 48 tahun bertindak menghubungi bomba.

Berita berkaitan

'Warga emas mandi sungai dikhuatiri lemas'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 9:26 PM