ANTARA ketegangan di beberapa negara Islam yang membantah tindakan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam kenyataannya yang disifatkan menghina Nabi Muhammad SAW. FOTO AFP
ANTARA ketegangan di beberapa negara Islam yang membantah tindakan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam kenyataannya yang disifatkan menghina Nabi Muhammad SAW. FOTO AFP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Perancis di Kuala Lumpur dipanggil ke Kementerian Luar Negeri, hari ini.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, ia bagi menyatakan kegusaran Malaysia terhadap peningkatan ketegangan, ucapan berunsur kebencian dan fitnah terhadap Islam.

Menurutnya, Malaysia berpendapat ketegangan itu tidak akan membolehkan kehidupan bersama secara aman dengan semua agama.

"Semasa pertemuan itu, Kementerian Luar Negeri mengulangi pendirian Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan retorik dan provokatif mencemarkan nama baik agama Islam, sebagaimana disaksikan dunia baru-baru ini dalam bentuk penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW.

"Malaysia komited untuk menegakkan kebebasan bersuara dan ekspresi sebagai hak asasi manusia selagi mana hak-hak ini dilaksanakan dengan penuh hormat dan bertanggungjawab supaya tidak berlawanan dan melanggar hak mereka yang lain," katanya.

Menurut kenyataan itu, Malaysia menekankan kepentingan inisiatif untuk mengurangkan dan menghapuskan Islamofobia di semua peringkat.

Katanya, dalam hal ini, Malaysia akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi meningkatkan rasa saling menghormati di antara agama dan mencegah ekstremisme agama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 10:09 PM