BESI kerangka pencawang TNB dirampas susulan penahanan lima suspek, semalam. FOTO AHMAD ISMAIL
BESI kerangka pencawang TNB dirampas susulan penahanan lima suspek, semalam. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail


Segamat: Hasrat lima lelaki mendapat untung mudah dengan menjual besi kerangka pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) musnah apabila ditahan polis menerusi Ops Lusuh, semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, lima suspek lelaki warga tempatan berusia antara 29 hingga 62 tahun itu ditahan di sekitar Tampin, Negeri Sembilan dan Segamat pada 5.30 petang.

"Hasil penahanan dua suspek di Tampin itu membawa kepada penemuan sebuah lori tiga tan membawa muatan kerangka pencawang besi TNB seberat 3,150 kilogram (kg) selain resit jual beli.

"Siasatan lanjut membawa kepada tangkapan tiga lagi suspek di pusat barangan lusuh di sekitar Segamat.

"Ia susulan laporan polis dibuat TNB Segamat pada Isnin lalu mengenai kehilangan besi menara pencawang seberat empat tan bernilai RM5,000 di pencawang dalam pembinaan di Kampung Awat, Batu Anam," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati beberapa suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Katanya, semua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan ditahan reman selama tiga hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana curi.

"Ops Lusuh diadakan dengan menyasarkan pemeriksaan ke premis peniaga barangan lusuh berlesen di sekitar Segamat di bawah Akta Peniaga Barang Lusuh 1946.

"Pada masa sama, kami turut melakukan pemeriksaan ke atas premis kosong yang tidak beroperasi membendung aktiviti gejala sosial lainnya selain memastikan tidak berlaku kecurian aset terbiar hingga barangan itu dijual sebagai barangan lusuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 10:52 PM