UUM. FOTO Arkib NSTP
UUM. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-33 yang kebiasaannya dijadualkan berlangsung November ini dibatalkan bagi menjaga kesihatan dan keselamatan seluruh warga UUM dan masyarakat setempat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Akademik UUM, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat dan saranan daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Adalah dimaklumkan bahawa pihak pengurusan UUM prihatin mengenai perkembangan terkini penularan Covid-19 berdasarkan laporan semasa daripada MKN dan KKM.

"Penularan wabak Covid-19 ini diklasifikasikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai pandemik. Oleh itu, pihak pengurusan UUM mengambil tindakan pengawalan dan pencegahan serta menekankan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) demi kesihatan dan keselamatan seluruh warga UUM dan masyarakat setempat," katanya.

Kenyataan itu, berkata graduan dinasihatkan untuk melayari laman web rasmi Jabatan Hal Ehwal Akademik (HEA), UUM (www.hea.uum.edu.my) mulai 5 November ini bagi mendapatkan maklumat berkaitan kaedah memperolehi transkrip dan ijazah masing-masing.

"Segala kesulitan amatlah dikesali. Marilah kita sama-sama berdoa agar keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala dan semoga kita semua sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta menghidupkan pembudayaan norma baharu dalam kehidupan harian kita," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 9:25 AM