MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan Kedah sudah menjelaskan hutang Syarikat Air Darul Aman (Sada) sebanyak RM78.33 juta.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jumlah hutang yang dibayar adalah sebahagian daripada RM147 juta hutang yang ditanggung Sada bermula 2017 hingga Mei tahun ini.

Katanya, hutang itu dibayar sehingga Oktober dan masih berbaki sebanyak RM68 juta.

"Kerajaan mengambil pendekatan mengurangkan beberapa kos operasi sebagai langkah penjimatan antaranya membatalkan kontrak kerja mesin rumput yang menelan kos RM99,000 sebulan atau hampir RM1.9 juta setahun.

"Sebaliknya tugas berkenaan diserah kepada kakitangan Sada yang dilakukan selepas waktu kerja. Hasilnya kos bulanan menjadi RM36,129 dan berlaku penjimatan sebanyak RM62,000," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Sada berkata, melalui langkah itu, pihaknya berjaya menjimatkan sebanyak 64 peratus kos operasi SADA.

Katanya, ia sebahagian kecil langkah pengurusan baharu yang menghasilkan keupayaan besar Sada untuk bangkit semula berasaskan kepimpinan dan modal insan dengan 'talaan' baru.

"Kita perlu kerja ikhlas kerana Allah SWT, cari rezeki halal, jaga amanah, jauhi kepentingan diri dan pelihara hubungan sesama warga kerja, adil dan saksama dan membuat keputusan bersama atas semangat syura.

"Selain itu kita tempatkan pegawai di posisi yang betul mengikut keupayaan, saling membantu, kerjasama, harmoni, dan tidak khianat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 11:34 AM