MOHD Chan berbincang mengenai bantuan kepada barisan depan bersama Shila Lama. FOTO ihsan Pembaca
MOHD Chan berbincang mengenai bantuan kepada barisan depan bersama Shila Lama. FOTO ihsan Pembaca
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Misi bantu petugas barisan hadapan. Itu inisiatif Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan dan Yayasan Mualaf Malaysia (YMM) yang tampil dengan Projek Prihatin Frontliners untuk menyumbang Pakaian Perlindungan Diri (PPE) kepada petugas hospital di Sabah.

Program dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu diadakan berikutan penularan pandemik itu yang sudah memasuki gelombang ketiga.

Pengerusi YMM Shila Lama Abdullah berkata, inisiatif itu diambil kerana berdasarkan laporan, kekurangan PPE adalah isu global dan antara masalah utama kepada usaha untuk menyelamatkan nyawa.

"Justeru, YMM dan Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan dengan kerjasama Jawi tampil dengan insiatif ini untuk mengajak orang ramai turut sama membantu.

"Alhamdulillah YMM menerima 3,000 pek nasi ayam dari Restoran Mohd Chan yang akan dijual untuk mengisi dana yang kita sasarkan berjumlah RM50,000 untuk peringkat permulaan.

"Hasil jualan akan dijadikan modal untuk membeli PPE ini dan disumbangkan kepada barisan depan di hospital di Sabah," katanya yang mengadakan pertemuan bersama Pengasas Rangkaian Restoran Mohd Chan, Datuk Mohd Chan Abdullah.

Sementara itu, Mohd Chan berkata, ia adalah peluang untuk pihaknya memberikan sumbangan kecil kepada barisan depan yang bertungkus lumus merawat pesakit serta mengekang penularan Covid-19.

Katanya, ia juga menjadi sebahagian daripada tanggungjawab untuk membantu negara berdepan pandemik ini sehingga keadaan pulih.

"Orang ramai boleh bantu dengan membeli pek nasi ayam ini sama ada untuk diri sendiri atau disumbangkan kepada orang lain. Hasil jualan akan digunakan sepenuhnya untuk membeli PPE.

"Urusan pengagihan nasi ayam ini juga akan dibuat oleh Jawi di mana ia akan disumbangkan kepada asnaf memerlukan. Sama-samalah kita berdoa agar usaha murni ini dipermudahkan," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun RHB 2144460007395 (Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 1:25 PM