Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (kiri) memilih ikan kembung untuk diedarkan secara percuma kepada para penduduk pada program Kedai Bergerak Parlimen Bukit Gantang di Taman Mewah, Kamunting hari ini. FOTO bernama
Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (kiri) memilih ikan kembung untuk diedarkan secara percuma kepada para penduduk pada program Kedai Bergerak Parlimen Bukit Gantang di Taman Mewah, Kamunting hari ini. FOTO bernama
BERNAMA

Bukit gantang: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang membina lima stor simpan beku ikan bernilai RM25 juta untuk membantu pemasaran dan pengedaran ikan bagi mengatasi lambakannya.

Pengerusi LKIM Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, projek pembinaan stor itu sedang dibangunkan di Kuala Besut, Terengganu; Kuantan, Pahang; Lumut, Perak; Kuala Kedah, Kedah; dan Sandakan di Sabah.

Beliau berkata semua projek itu dijangka siap Mei tahun depan dengan setiap stor boleh menyimpan kira-kira 10 tan ikan.

"LKIM membantu nelayan dengan membeli serta memasarkan hasil tangkapan mereka di pasar-pasar nelayan di seluruh negara dan sehingga kini, 87 persatuan nelayan turut membantu dalam menjayakan inisiatif ini.

"Melalui usaha ini, tidak akan berlaku lambakan ikan di pasaran," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang pada sidang media selepas menghadiri program Kedai Bergerak Parlimen Bukit Gantang di Taman Mewah, Kamunting dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Syed Abu Hussin berkata, program Kedai Bergerak adalah inisiatif yang digerakkan oleh beliau sendiri sejak 10 tahun lalu bagi membantu penduduk setempat dalam menangani pelbagai cabaran ekonomi, selain peluang kerja terhad.

Beliau berkata, melalui usaha ini, pihaknya membeli barangan secara borong dan menjualnya kepada penduduk pada harga runcit, malah turut menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus.

"Ini dapat mengurangkan harga barang kerana harga barang di luar bandar biasanya lebih tinggi disebabkan kos pengangkutan.

"Bukit Gantang adalah kawasan luar bandar dengan 70 peratus penduduk bekerja sendiri di kampung dan 30 peratus adalah kakitangan kerajaan dan swasta," katanya.

Menurut beliau, Kedai Bergerak itu ditempatkan di enam lokasi berlainan setiap bulan dan menawarkan pelbagai barangan keperluan asas.

Ia juga membolehkan orang ramai tidak perlu bergerak jauh untuk mendapatkan barangan keperluan itu.

Pada masa sama, Syed Abu Hussin turut mengagihkan satu tan ikan kembung yang dibelinya dari Kuala Selangor, Selangor kepada kira-kira 500 penduduk di kawasan Taman Mewah.

Beliau turut menyerahkan bantuan kewangan RM33,000 untuk surau, RM45,000 untuk masjid dan RM39,000 untuk Rukun Tetangga di kawasan Parlimen Bukit Gantang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 2:29 PM