GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Wilayah Persekutuan merancang untuk menukar laluan motosikal di Putrajaya kepada laluan berbasikal berikutan cadangan kementerian menjadikan wilayah pentadbiran tersebut sebagai bandar mesra sukan berbasikal.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata bagi tujuan berkenaan Perbadanan Putrajaya (PPj) akan mengambil langkah membatalkan laluan yang sebelum ini digazetkan bagi laluan motosikal untuk ditukar kepada lorong berbasikal.

"Kita mempunyai kawasan yang dulunya dibina bertujuan untuk mengasingkan laluan motosikal dengan kenderaan lain bagaimanapun tidak ramai penunggang motosikal di Putrajaya, sebab itu kita mahu ubah suai laluan tersebut untuk dijadikan laluan berbasikal," katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Komuniti Putrajaya di bawah Wilayah Cakna 3.0 di sini, hari ini.

Beliau berkata, laluan berbasikal tersebut terdiri daripada bulatan luar sejauh 34 kilometer (km) dan bulatan dalam kira-kira 15km yang dijangka siap dalam tempoh satu atau dua bulan akan datang.

Katanya, selain lorong berbasikal, kementerian bercadang untuk menyediakan kemudahan lain termasuk kafe, bengkel dan kedai alat ganti basikal serta tempat letak kereta untuk penunggang basikal melakukan aktiviti itu di Putrajaya.

Annuar berkata, kementerian juga akan menjemput persatuan berbasikal dan pihak berkaitan untuk mendapatkan pandangan dan nasihat berkaitan keselamatan jalan raya khususnya keselamatan penunggang basikal dan pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata idea sama juga ingin dibuat di Kuala Lumpur namun masih di peringkat awal dan pihaknya sedang mengenal pasti kawasan tasik yang sesuai di ibu kota untuk pembinaan lorong berbasikal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 3:06 PM